Mahu ke mana Nomi

Jadi Sahabat Saya, Boleh? - Bab 1

Bab 1

Tradegi Hari Guru.



“SEGALA kata cacian yang telah engkau berikan, membuatku rasa kosong...kosong... oh...”
Lirik terakhir lagu nyanyian asal Najwa Latif itu bersambut sorakan dan tepukan gemuruh kawan-kawan. Suara usikan nakal kawan-kawan juga bercampur dengan siulan.
“Terima kasih,” kata Afrina dan Afrizal serentak sebaik saja mereka ke depan pentas dan menundukkan badan, tanda persembahan mereka sudah berakhir.
“Rina! Rina! Rina!” Suara sorakan menggamatkan seisi dewan.
“Rizal! Rizal! Rizal!” Sorakan bertambah kuat.
“Tepukan dan sorakan semakin kuat. Rina dan Rizal sudah boleh mengalahkan artis Black dan
Aizat membuat persembahan pentas.” Suara pujian Teacher Erein membuatkan Afrina dan Afrizal
tersenyum puas.
Teacher Erein yang tadinya tercegat di hujung pentas, kini mendapatkan Afrina dan Afrizal. Wajah
kedua-dua beradik itu berseri-seri. Nampaknya para hadirin yang berada di dewan itu terhibur dengan
persembahan mereka.
“Rasanya banyak-banyak persembahan pelajar hari ini, persembahan merekalah mendapat tepukan
paling gemuruh. Are you agree with me?” tanya Teacher Erein kepada sekalian hadirin di dalam dewan.
“Yes, agreee!” Para pelajar dan guru yang menyaksikan persembahan menjawab serentak.
Tepukan gemuruh kedengaran lagi.
“Ya, saya juga sangat terhibur dengan persembahan kamu berdua. Sekali lagi, berikan
tepukan gemuruh kepada Afrina Iqbal! Suaranya yang lunak merdu setanding suara Najwa Latif. Tahniah Afrina Iqbal! Begitu juga dengan abangnya, Afrizal yang menghiburkan kita dengan lagu Awan Nano tadi.
Terhibur tak pelajar-pelajar?” Teacher Erein bertanya
kepada para pelajar.
“Terhibur!” Semua pelajar menjawab dengan suara teruja.
“Jarang-jarang kita melihat adik-beradik sebegini rapat dan memiliki chemistry yang cukup sempurna.
Apabila si abang menyanyikan lagu, si adik memetik gitar. Apabila si adik menyanyikan lagu, si abang pula memetik gitar. Wah, perfect!” puji Teacher Erein lagi.
Guru Bahasa Inggeris itu tersenyum dan kelihatan begitu teruja dengan persembahan Afrina dan Arfizal di atas pentas, sempena sambutan hari guru itu.
“Terima kasih cikgu, kawan-kawan, terima kasih semua,” balas Afrizal mendengar pujian Teacher Eiren dan tepukan hadirin.
“Ya, terima kasih semua.” Afrina pula bersuara.
Hatinya berbunga-bunga menerima pujian dan reaksi balas kawan-kawan yang tak henti-henti melaungkan namanya.
“Baiklah, Afrina, Afrizal, saya ucapkan selamat maju jaya untuk kamu berdua. Ternyata kamu berdua
bukan hanya jaguh di gelanggang catur, tetapi juga berbakat dalam bidang seni persembahan. Afrizal,
Afrina, lepas ni ajar saya macam mana nak main gitar ya?” usik Teacher Erein.
“Boleh teacher,” jawab Afrina dan Afrizal serentak sebelum mereka beredar ke belakang pentas.
“Baiklah, sekarang dipersilakan, tiga gadis jelita dari Kelas 3P untuk membuat persembahan mereka.
Tiga gadis ini menamakan kumpulan mereka, Ratu. Dipersilakan Derlisya, Jessica dan Shui Ann!”
Tepukan gemuruh kedengaran. Bunyi muzik menyambut kehadiran tiga gadis ke tengah pentas.
Derlisya, Jessica dan Shui Ann melemparkan senyuman kepada sekalian hadirin sebelum memulakan
persembahan mereka.
Tiga orang gadis ini mengenakan fesyen terkini ala-Korea dan kelihatan cantik. Pakaian mereka
nampak sopan di atas pentas kerana awal-awal lagi cikgu sudah mengingatkan kepada para pelajar yang ingin membuat persembahan pentas agar menjaga tata cara berpakaian.
Irama perlahan bertukar rancak. Gerak tari mulai bertukar lincah dan bertenaga. Derlisya, Jessica dan
Shui Ann mempersembahkan tarian Korea Pop, dengan lagu Nobody, persembahan asal Kumpulan
Wonder Girls. Persembahan Kumpulan Ratu, hampir 80 peratus menyamai persembahan asal Kumpulan Wonder Girl yang diperkenalkan Park Jin Young itu meskipun ahli Kumpulan Ratu hanya tiga orang saja. Para penonton semakin terhibur. Persembahan mereka memang benar-benar menjadi dan berjaya. Derlisya semakin yakin, selepas ini Teacher Erien akan memuji Kumpulan Ratu melambung-lambung tinggi sepertimana pujian yang diterima Afrina dan Afrizal tadi.
Kau ingat kau saja layak dipuji, Rina. Aku pun!
Derlisya bersuara bongkak di dalam hati. Dia yakin selepas ini, populariti kumpulan Ratu akan melonjak naik, seratus lima puluh peratus daripada populariti
yang mereka miliki hari ini.
Tiba-tiba, bedebuk!
Derlisya tersentak. Jessica juga tergamam.
Persembahan tarian mereka terhenti serta-merta meskipun alunan muzik masih kedengaran.
“Aduh!” Shui Ann menjerit kuat sambil meraba dahinya yang sedikit berdarah.
“Oh!” Suara penonton kedengaran serentak.
Mungkin juga kerana masing-masing terkejut atas apa yang menimpa Kumpulan Ratu.
Teacher Erien dan beberapa orang guru yang berada dekat dengan pentas, menerpa mendapatkan
tubuh Shui Ann yang masih tertiarap itu. Derlisya dan Jessica pula tergesa-gesa mengangkat tubuh Shui Ann yang lemah dan pucat.
“Hoi Ratu! Sudahlah! Ratu konon!” Satu suara mengejek. Serentak dengan itu juga, kedengaran
sekelompok pelajar ketawa terbahak-bahak.
“Tak reti menari tarian Melayu, sibuk nak menari
K-pop.” Suara ejekan kedengaran berbunyi lagi.
“Tak cukup tenaga, persembahan tak mantap!”
Bertubi-tubi komentar yang kedengaran daripada para pelajar. Derlisya dan Jessica yang masih berusaha mengangkat Shui Ann berasa sangat bengang.
“Para pelajar diminta bertenang. Sampai di sini saja persembahan pelajar hari ini. Walaupun apa yang
berlaku kepada Kumpulan Ratu adalah di luar jangkaan, namun Ratu sudah membuat satu persembahan yang baik dan menghiburkan. Berikan tepukan kepada mereka.” Teacher Erein menenangkan suasana ejek mengejek yang sedang berlaku. Shui Ann sudah pun dipapah keluar dari pentas itu dengan bantuan Derlisya, Jessica dan dua orang guru perempuan.
“Memang menghiburkan teacher, siap ada slot lawak, buah nangka jatuh tu. Hahaha!” Seorang
pelajar dengan berani memberikan pendapatnya.
Komen itu diikuti dengan suara ketawa pelajar- pelajar di dewan.
“Amirul, tak baik cakap macam tu. Mungkin hari ini, nasib dia kurang baik. Esok-esok kalau hal yang tak patut berlaku, berlaku pada awak macam mana? Sudah! Jangan ketawa lagi. Kita kena beri sokongan  kepada Shui Ann dan Ratu. Mereka berani membuat persembahan dan menampilkan bakat mereka hari ini.” Tegas Teacher Erein.
Acara di pentas terus dihentikan. Sementara itu pelajar-pelajar diberi kebebasan untuk bertemu
dengan guru-guru bagi memberikan hadiah.

***


 “HUH! Apalah Shui Ann ni? Memang tak boleh diharap. Lagi 40 saat persembahan nak habis, boleh pulak dia jatuh. Memalukan betullah!” marah Derlisya sambil membasuh mukanya di singki, di bilik air sekolah.
“Agaknya dia tak cukup rehat. Dia terlalu penat tu.” Jessica memberi pendapat.
“Sia-sia saja berhabis duit sebab dia. Mama aku sponsor pakaian kita bertiga, habis seribu lebih tau.
Tapi tengok, apa yang kita dapat? Ejekan? Aduhhh…”
“Sabarlah Derlisya, benda dah nak jadi! I rasa, Shui Ann pun tak nak benda ni berlaku. Lagipun I tengok tadi bukan main pucat mukanya,” pujuk Jessica.
“Siapa suruh tak rehat cukup-cukup kalau dah tahu hari ni persembahan penting?” ungkit Derlisya.
“Petang ni, kita pergi rumah Shui Ann,nak? Runsing pulak I tengok keadaan dia tadi.”
“Arghhh, malaslah! Bukan serius sangat pun setakat luka sikit kat dahi tu. Kalau you nak pergi,
pergilah.”
“Kalau you tak nak pergi, I pun tak nak pergilah.” Jessica membalas kata-kata Derlisya.
“Rancangan I gagal sama sekali. Harapan kita nak dapat tepukan gemuruh berbanding Afrina dan
abangnya tidak menjadi. Malah diejek lagi. Lepas ni sukalah Afrina tengok kekalahan I! Argh, tensionnya!” Derlisya bersuara kesal.
Bunyi pam tandas ditarik membuatkan perbualan Jessica dan Derlisya terdiam. Fikir mereka tadi, hanya mereka berdua saja berada di tandas itu. Mereka saling berpandangan apabila tubuh genit yang baru keluar dari tandas itu ialah Afrina. Afrina yang sejak tadi mendengar perbualan mereka tidak berkata apa-apa ketika membasuh tangan di singki. Dia mahu segera berlalu dari situ tanpa menyampuk perbualan Derlisya dan Jessica.
“Kau kira, kau hebat? Jangan berlagaklah dengan aku.” Derlisya bersuara sinis, memperli Afrina.
“Bagi orang lain, kau mungkin hebat. Tapi bagi aku, kau biasa-biasa saja. Tak sehebat mana pun, dan
tak setanding aku!” Afrina yang mahu melangkah keluar dari tandas itu terhenti langkah apabila mendengar kata-kata Derlisya.
“Awak bercakap dengan saya ke Derlisya?” Afrina bertanya. Sudah biasa Derlisya bercakap sedemikian dengannya. Perli memerli adalah cara Derlisya memulakan perbualan mereka.
“Aku ingat kau bijak sangat, rupanya tak bijak mana pun!”
“Derlisya, hebat dan bijak adalah sesuatu yang subjektif. Terpulanglah kepada awak macam mana
nak menilainya. Cuma, kalau ada sesuatu yang awak tak puas hati dengan saya, katakan. Kita boleh
bawa berbincang. Jangan biarkan diri awak tu terus berprasangka buruk terhadap orang lain. Awak terlalu prejudis!”
“Hahaha…aku nak berprasangka buruk kat siapa? Aku terlalu prejudis? Kat siapa? Kau? Memang kau ni jenis perasanlah, Afrina.” Derlisya ketawa mengejek.
“What ever!” balas Afrina dengan perasaan kosong.
Sememangnya berdepan dengan Derlisya dia selalu berperasaan sebegini. Derlisya selalu
membuatkan jiwanya kosong, bak lagu Najwa Latif, yang ditujukan khas buat Derlisya tadi. Dia harap Derlisya mengerti lagu itu ditujukan diam-diam, khas buatnya.


***
“EIIIII!” Derlisya menjerit sekuat hati sebaik saja Afrina keluar dari tandas perempuan itu. Geram sungguh dia dengan perwatakan Afrina yang nampak sangat cool dan bersahaja menangkis kata-katanya tadi.
“Be relaxs, Isya! Cool down. You terjerit-jerit macam ni, buat telinga I sakitlah. Silap haribulan, you
punya stres hilang, gegendang telinga I ni pulak pecah sebab you,” tukas Jessica tidak senang dengan reaksi Derlisya.
“Huhhh! You pun sama je. Blahlah!” marah Derlisya dengan teguran Jessica. Jessica terpempan seketika. Ternyata kemarahan Derlisya hari ini sukar dikawal sahabat baiknya itu.
“Hei, Isya! You ni kan, I tegur you baik-baik, you melenting ni, apa hal? Siap halau I pergi?” Jessica
meninggikan suara. Terkejut dan sungguh tercabar dia dengan kata-kata Derlisya.
“Kalau you tak nak kawan dengan I, you ingat I dah tak ada kawan lain ke?” Kedengaran suara Jessica sebak. Matanya memandang tepat ke wajah Derlisya.
Tubuhnya mula menggigil menahan perasaan dengan kata-kata Derlisya.
Derlisya menelan liur di tekaknya. Perasaan marah dan cemburunya terhadap Afrina dilampiaskan
kepada Jessica pula sedangkan sehingga ke hari ini hanya Jessica dan Shui Ann saja kawan baiknya.
Arggghhh! Sakitnya hati aku kenangkan Shui Ann tu! Bentak hati Derlisya.
“Sorry, Jessica. I can’t control my self. I didn’t meant so…” rayu Derlisya seraya menarik tangan
Jessica yang nampaknya mahu beredar pergi dari tandas perempuan itu.
“Sorry eh, I terlebih emosi pulak. I mengaku I
salah, terkasar tadi. Jessica, I’m vey sorry…” rayu Derlisya lagi dengan nada mengharap apabila Jessica mengunci mulut, bereaksi macam patung dengan kata-katanya.
“Jangan kerana satu masalah, apabila kita gagal mengatasinya, kita buat lagi masalah yang lain, Isya!
Itu tak betul! Kalau you frusted dengan kegagalan Kumpulan Ratu, you ingat I tak ada rasa semua tu ke?
Come on, Isya!” Akhirnya Jessica bersuara menyedari Derlisya bersungguh memohon maaf dengannya.
“Tapi I… I memang frusted sangat ni. Lagi buat I tension, tengok muka Afrina tadi. I rasa dia macam
gelakkan kita sampai guling-guling sebab Shui Ann tu…”
“Sudahlah, Isya. Jangan stress lagi. Bukan Shui Ann nak pun semua ni berlaku. I rasa dia benar-benar tak sihat tu. Dan I percaya, dia pun frusted juga!” Jessica masih berusaha menenangkan perasaan Derlisya.
Tetapi riak wajah Derlisya seperti tidak bersetuju dengan kata-kata Jessica. Egonya tetap
mempertahankan yang Shui Ann adalalah penyebab mereka berdepan dengan situasi ini.
“Dahlah! Jom kita pergi bilik guru. I nak pass hadiah. Penat-penat I balut malam tadi. Sekarang dah
jam berapa? Kejap lagi kita dah nak balik.”
“Huh! Kalau you nak pergi bilik guru…you pergilah.
I tak nak!”
“Pulak? Bukan ke pagi tadi you yang beria-ia benar nak bagi semua guru kita hadiah?”
“Jessica, itu cerita pagi tadi. Sekarang, I dah tak ada mood. I malu, nanti kena ejek…”
“Isya, Isya.. is up to youlah! But I have to go now!” kata Jessica sambil menolak daun pintu
tandas meninggalkan Derlisya yang terkulat-kulat
memandangnya.

0 comments:

Post a Comment