Mahu ke mana Nomi

Jadi Sahabat Saya, Boleh? - Bab 2

Bab 2

 Derlisya Bengang

DERLISYA mencampakkan beg sekolahnya di atas sofa, di tengah ruang tamu. Dia
merengus panjang dan berbaring di sofa itu. Alat kawalan jauh penghawa dingin dicapainya.
Dia merendahkan suhu ruang tamu yang dirasakan sangat panas, sepanas hatinya yang masih membara. Setelah itu, dia mencapai alat kawalan jauh televisyen lantas menekan-nekan punat, memilih rancangan kegemarannya. Namun daripada 44 saluran yang dilanggan keluarga itu daripada stesen Astro, satu saluran pun tidak mampu menarik perhatiannya.
“Derlisya, mau makan sekarang?” Bibik Endah bertanya.
“Tak naklah. Tak berselera,” jawab Derlisya acuh tak acuh, langsung tak berpaling memandang wajah
pembantu rumahnya itu. Bibik Endah berlalu ke dapur menyedari wajah anak majikannya masam mencuka.
“Derlisya, barang Isya ni tertinggal dalam kereta. Nak letak kat mana, ya?” Pak Yaakob selaku pemandu peribadi keluarga itu muncul di muka pintu. Derlisya yang masih terbaring di sofa,
memanjangkan lehernya, cuba melihat barang apakah yang dimaksudkan Pak Yaakob. Pak Yaakob sedang menjinjing sebuah beg kertas yang agak besar.
“Huh! Buang ajelah,” jawab Derlisya sambil merengus.
“Buang? Isya, ni bukan sampah nak. Nampaknya macam hadiah.” Pak Yaakob melangkah ke dalam
rumah, cuba menunjukkan isi yang ada di dalam perut beg berkenaan kepada Derlisya.
“Pak cik ni kenapa? Isya kata buang, buang je lah. Sebelum ni memanglah hadiah. Tapi sekarang ni,
semua tu dah jadi sampah. Isya dah tak nak!” Suara Derlisya kedengaran membentak.
Pak Yaakob tersentak dengan reaksi Derlisya. Bagi seorang remaja belasan tahun tidak sepatutnya
bercakap kasar dengan orang yang lebih tua.
“Tapi kenapa nak dibuang? Sayang pak cik tengok semua hadiah ni. Mahal-mahal lagi. Hari tu, pak cik tengok Isya bukan main gembira masa beli hadiah- hadiah ni.” Pak Yaakob masih lembut bertanya.
“Kalau pak cik nak, pak cik ambillah. Isya kata tak nak, tak naklah!”
Nada suara Derlisya yang kuat itu menarik perhatian abang Derlisya, Danish. Danish ketika itu
berada di dapur. Danis terburu-buru menjengah ruang tamu.
“Kenapa Isya? Kenapa Isya tinggikan suara dengan pak cik ni?” tanya Danish terkejut melihat air muka Derlisya yang merah padam.
Wajah Pak Yaakob ketika itu agak muram.
“Kenapa pak cik?” tanya Danish cuba memahami situasi yang berlaku antara adik dan pemandu peribadi mereka.
“Emm, maaf, Danish. Pak cik tak tahu yang Isya dah tak mahu semua hadiah ni. Sangka pak cik, Isya
tertinggal hadiah ni dalam kereta dan terlupa nak bagi kat cikgu. Masa kemas kereta tadi, pak cik baru perasan hadiah ni.”
“Eh, bukan ke semua ni hadiah untuk cikgu, Isya?”Kata Danish sebaik saja beg kertas di tangan
Pak Yaakob bertukar di tangannya.
“Isya tak jadi bagi hadiah tu kat semua cikgu. Isya kata buang, buanglah! Nak cakap macam mana
lagi supaya semua orang faham cakap Isya?” marah Derlisya dengan nada keras menekan.
“Pak cik, pak cik ambiklah semua ni. Berilah kat anak-anak pak cik. Key chain teddy bear ni semuanya cute. Saya pasti mereka sukakannya.” Danish bersuara lembut.
Pak Yaakob mengangguk faham dan berlalu keluar.
“Isya, lain kali, cakaplah baik-baik dengan pakcik. Jangan meninggikan suara macam tu,” nasihat
Danish.
Derlisya buat tak endah. Dia berbaring semula di sofa. Matanya memandang kosong ke skrin TV.
Danish menggeleng melihat tingkah laku Derlisya.
Dalam hati, dia beristighfar, cuba bersabar melayani kerenah adiknya itu.
“Makan, jom! Bibik masak nasi beriani lauk ayam merah, dalca dan pajeri nenas. Itu makanan
kegemaran Isya? Temankan abang makan?” ajak Danish dengan nada lembut.
“Abang makanlah. Isya dah cakap, Isya tak berselera. Tolonglah abang, jangan paksa-paksa Isya.”
“Isya, abang bukan nak paksa. Tapi abang tahu, Isya belum makan apa-apa lagi sejak pagi tadi. Jom
makan, nanti perut Isya masuk angin pulak,” pujuk Danish.
Derlisya masih buat muka tak peduli.
“Dahlah, jangan stres-stres lagi.” Danish cuba
memberi semangat. Dia faham keadaan Derlisya yang nampak tertekan setelah apa yang berlaku kepada Kumpulan Ratu.
“Isya memang stres! Isya stres dengan sikap abang yang tak pernah nak memahami keadaan Isya!”
Derlisya meninggikan suara sambil mencapai beg dan berlari memanjat tangga rumah.
“Pulak! Apa yang abang tak fahamnya?” tanya Danish, tercengang-cengang dengan nada suara
Derlisya itu.
“Argh! Abang pun sama dengan dia orang. Abang gelaklah! Gelaklah sepuas hati sebab Kumpulan Ratu gagal buat persembahan, kan?” teriak Derlisya dari atas tangga dekat dengan biliknya.
Tidak lama kemudian, daun pintu bilik dihempasnya sekuat hati.
“Danish, Derlisya, kenapa teriak-teriak?” Bibik Endah yang berada di ruang dapur terkejut mendengar suara Derlisya yang memekik itu. Dia terkocoh-kocoh mendapatkan Danish.
Wajah Danish nampak memerah menahan sabar dengan sikap Derlisya.
“Derlisya kenapa Danish? Kesian, daun pintunya, dihempas kuat begitu.” Bibik Endah.
“Kok ribut-ribut? Sudahlah Danish, percuma dinasihatin. Biarin dia. Dia lagi capek. Cewek memang
begitu. Mungkin lagi datang bulan.” Bibik Endah memujuk Danish.
“Lantak dia lah, Bik Endah.”
“Sabar ya, Danish. Kamu juga bibik lihat capek. Ayo, nasinya dimakan ya? Udah makan, solat.
Istirahat.”
“Yalah, bibik. Lapar pulak Danish teringatkan nasi beriani bibik.” Danish menjawab.
Danish kemudian mengatur langkah ke ruang dapur , membasuh tangan ke singki.
“Makan nasi beriani bibik lebih enak daripada melayan perangai Isya tu,” komen Danish separuh
mengomel.
Bibik Endah hanya mengangguk bersetuju.



0 comments:

Post a Comment