6
10 tahun kemudian.
|
“ASTAGHFIRULLAHALAZIM, Ya Allah... biar
betul apa yang aku nampak ni!” Mahmud bersuara hampir menjerit sebaik saja
mematikan enjin kereta di tepi jalan, dekat dengan pokok ketapang.
Mahmud
keluar dari perut kereta dan menutup daun pintu perlahan. Dia berjalan
mendekati sebuah kereta putih di tepi jalan itu, kurang 20 meter di depan
keretanya. Penghuni di dalam kereta itu seperti langsung tak menyedari
kehadirannya. Mungkin juga kereta yang diparkirnya terlindung di sebalik
pepohon yang berderet di tepi jalan.
Atau mungkin juga enjin keretanya berbunyi perlahan, bukan jenis mengaum
dan memekakkan telinga.
Biasan
cahaya lampu jalan dan simbahan cahaya bulan mengambang penuh memudahkan
pandangannya. Sekali pandang, Mahmud perasan di dalam kereta itu ada seorang
perempuan memandangkan susuk tubuh dan rambutnya yang panjang mengurai.
Benaknya
laju memikirkan apa yang dibuat perempuan itu dalam kereta tengah malam begini.
Nampaknya perempuan itu bukan berseorangan. Ada seseorang di sisinya yang tak
begitu jelas susuknya. Susuk tubuh itu terlindung di sebalik susuk tubuh
perempuan tadi.
Mahmud
menekan punat di jam tangannya, sekadar memperoleh sedikit cahaya untuk terus
menapak mendekati kereta itu. Jam tangannya jelas menunjukkan pukul 1.30 pagi.
Dia diterjah perasaan ingin tahu. Kenapa kereta yang tersadai di bawah pokok
itu berpenghuni pada waktu-waktu sebegini? Sesuatu yang mencurigakan.
Setelah agak
lama memerhati, matanya mengecam seorang lelaki dan seorang perempuan di
bahagian hadapan kereta itu. Dia yakin, akalnya tidak silap. Kornea matanya tak
mungkin tersalah pandang.
‘Budak-budak
ni memang nakal tak bertempat. Tau nak seronok aje!’ tempik hati Mahmud kuat.
Rasa marah mula merusuh hebat mengenangkan gejala sosial para remaja makin
bernanah. Hajat hatinya yang mahu ke rumah Osman ditangguhkan.
Mahmud
terhendap-hendap melalui cermin belakang kereta. Dia ingin melihat perbuatan
mereka dengan lebih nyata. Kala dia semakin merapati tubuh kereta itu dari
bonet belakang, pandangannya kian jelas. Pasangan di dalam kereta itu sedang
bercumbu-cumbuan, berpeluk-pelukan melayan nafsu berahi.
“Astaghfirullahalazim...”
Dia mengucap panjang. Dia yakin, pasangan itu bukan setakat bercumbu-cumbuan,
malah lebih daripada itu.
Mahmud
menampar kuat punggung kereta sebelum mengetuk cermin kereta bertalu. Dia mahu
bercakap dengan pasangan itu. Namun, kedua-duanya nampak terkejut dan berdegil
untuk tidak membuka daun pintu. Malah, cermin kereta pun tak diturunkan.
Apabila
enjin kereta dihidupkan, Mahmud terkejut bukan kepalang. Kereta itu
tergesa-gesa mengundur dan hampir melanggar tubuhnya. Tidak lama kemudian,
kereta Mitsubihi berwarna putih itu memecut laju.
Mahmud
menjerit geram. Tindakannya gagal sama sekali. Dia gagal untuk menegur pasangan
itu, malah dia juga gagal mengecam raut wajah mereka.
Mahmud
meneruskan langkah ke perkarangan rumah Osman. Pintu pagar rumah Osman yang
tidak berkunci memudahkan hajatnya. Niatnya mahu bertemu Suriyana dan mengambil
fail perniagaan milik adiknya yang tertinggal. Osman menelefonnya lewat tadi
dan meminta dia ke rumahnya mengambil fail itu. Osman sudah seminggu berada di
Perak atas urusan jual beli perabot.
Sekejap
lagi, dia pula akan menyusul untuk sama-sama menghadiri beberapa mesyuarat
penting di sana. Nak tak nak, dia terpaksa ke rumah Osman untuk mengambil fail
yang mengandungi dokumen penting yang akan dibincangkan dalam mesyuarat pada
hari esok.
Mahmud
meneruskan langkah ke rumah Suriyana dengan perasaan marah yang meluap-luap.
Rasa geram dan tercabar masih bermain-main di hujung dadanya yang berbahang.
Fikirannya masih memikirkan tentang kereta putih dan pasangan di dalamnya.
Sedikit sebanyak, dia juga kesal kerana buru-buru mengetuk cermin kereta
berkenaan walhal dia sepatutnya mengajak beberapa saksi untuk turut sama
melihat perbuatan mereka. Perbuatan mereka perlu dihukum.
Setibanya di
rumah Osman, Mahmud memberi salam dan mengetuk daun pintu bertalu. Rasa kesal
menghambat jiwa bertandang ke rumah adik ipar dan anak saudaranya pada tengah
malam buta begini. Kehadirannya bisa mengganggu tidur penghuni rumah. Esok pula, mereka bersekolah.
Mahmud
menunggu dengan penuh sabar. Ketukannya yang kuat semakin dikuatkan. Dia
terpaksa juga menunggu salah seorang daripada penghuni rumah berkenaan terjaga
dan membuka daun pintu untuknya. Jenuh sudah salam diberi, namun tiada
tanda-tanda yang daun pintu akan dikuak penghuninya.
“Suri, oh…
Suri!” Mahmud melaung dari luar rumah sambil tangannya terus mengetuk daun
pintu bertalu. Dia berharap benar penantiannya berbaloi. Sepuluh minit berlalu,
ternyata usahanya sia-sia saja.
Mahmud
mengeluh berat. Dia tidak kuasa mahu menunggu terlalu lama apatah lagi
perjalanannya perlu diteruskan. Namun apakah bentuk alasan yang akan diberi
kepada Osman pada esok hari? Fail itu penting untuk melancarkan mesyuarat
mereka.
Agak jemu
berada di beranda rumah, Mahmud turun ke tanah dan meninjau-ninjau ke dalam
rumah. Kelihatan rumah itu agak cerah kerana ada cahaya lampu yang terpasang.
Cuma keadaannya sunyi sepi. Sah, semua penghuninya tidur mati. Mahmud tiada pilihan. Dia mengetuk salah satu
bilik yang paling dekat dengan tempatnya berdiri. Dia tidak tahu siapa
yang tidur di kamar itu, tetapi dia
terpaksa rela mengejutkan penghuninya.
“Suri, oh
Suri!” Mahmud menepuk kuat dinding bilik rumah batu separuh kayu itu dengan
harapan Suri akan terjaga daripada lenanya.
“Ya ALLAH,
kenapa semua orang tak sedar suara aku kuat macam ni?” keluh Mahmud berputus
asa.
“Zul, oh
Zul…” Mahmud menampar kuat tingkap bilik itu. Berulang-ulang dengan harapan
salah seorang anak saudaranya tersedar daripada tidur. Walaupun kehadirannya
pada waktu lewat begini adalah tidak wajar, namun keadaan sekarang benar-benar
mendesak!
“Diah, oh
Diah! Buka pintu kejap. Ayah long datang ni. Penting!” laung Mahmud lagi.
Sekalipun dia mengutuk tindakan sendiri, namun dia tiada pilihan lagi. Dia pun
menerima panggilan telefon daripada Osman sekitar jam 11.30 malam memintanya
mengambil fail itu.
“Alah,
bang... nak buat macam mana, dah tertinggal. Saya pun baru perasan ni, hah!
Esok nak tunjuk kat klien. Saya ingat dah masuk dalam beg ni, rupa-rupanya
tertinggal.” Osman bersuara kesal sewaktu menelefonnya tadi.
“Dah lewat
sangat ni, Man... nak gi umah kau lagi. Tak sedap pulak rasanya ganggu anak
bini kau tidur.”
“Tadi saya
ada telefon rumah mintak Suri tunggu abang datang, tapi telefon rumah tak
berangkat. Yalah, dah lewat ni. Mungkin Suri dan anak-anak dah tidur. Tak
apalah, abang pergi aje rumah. Ketuk pintu tu kuat-kuat, nanti terjagalah
mereka. Fail tu warna merah emas, ada dalam laci paling atas kat bilik
perpustakaan.”
“Kau ni,
Man... macam-macamlah. Nantilah abang pergi,” rungut Mahmud, terpaksa bersetuju
demi kepentingan bersama.
“Alah,
lagipun abang kan lalu kat rumah Man juga nak ke Ipoh ni. Tolong ya, bang,”
pujuk Osman penuh mengharap.
Mahmud
mengheret nafas lega apabila lampu bilik berkenaan dipasang penghuninya. Seraut
wajah Osman yang terlayar-layar di depan mata terbang begitu saja. Bunyi daun
tingkap nako dibuka seseorang membuatkan Osman memanggung kepala.
Seseorang
mengintainya dari celahan tingkap.
“Siapa?”
Satu suara garau menyoalnya.
“Zul, ayah
long ni.” Mahmud memperkenalkan diri apabila dirasakan suara Faizul Ikhwan di
situ.
“Ayah long?”
Suara Faizul Ikhwan kedengaran dalam tanda tanya. Mungkin tidak percaya kehadirannya
di situ, pada jam sebegini.
“Ya, Zul.
Buka pintu sekejap. Ayah long datang nak ambil fail. Ayah pesan,” jelas Mahmud.
Tidak lama
kemudian, lampu di beranda rumah dipasang menyebabkan kawasan itu
terang-benderang. Daun pintu utama juga dikuak.
“Zul ingatkan,
Zul bermimpi tadi.” Suara Faizul Ikhwan kedengaran berbasa-basi melayani
kehadiran ayah saudaranya itu. Tangannya menenyeh bola mata yang masih
berpisat-pisat menahan kantuk.
“Maaflah,
Zul. Ayah long datang ni nak ambik fail ayah. Dia telefon tadi. Katanya fail tu
dalam bilik perpustakaan. Dalam laci paling atas,” jelas Mahmud tanpa berlengah
menyampaikan hajatnya ke situ.
“Ayah long
masuklah ambik fail tu dalam bilik kerja ayah. Zul nak ke tandas. Dah tak
tahan, nak terkencing sangat ni.” Faizul Ikhwan memberitahu.
Tanpa
menunggu jawapan daripada Mahmud, Faizul Ikhwan gesa-gesa berlalu ke dapur,
mahu menunaikan hajat. Mahmud pula melangkah masuk ke dalam rumah Osman menuju
ke bilik perpustakaan merangkap bilik kerja adiknya.
Rumah itu
sunyi sepi. Hening malam menceritakan setiap penghuninya larut dalam lena yang
panjang. Masing-masing agaknya terbuai dalam mimpi indah.
“Jumpa ke
failnya, ayah long?” soal Faizul Ikhwan tiba-tiba hadir di belakangnya. Mukanya
nampak basah. Mungkin membasuh mukanya sewaktu ke bilik air tadi.
Mahmud hanya
menggeleng. Wajahnya berkerut. “Ayah beritahu ayah long, fail tu dalam laci
paling atas. Tapi tak ada pulak sebarang fail berwarna merah emas di sini. Confius
pulak ayah long,” terang Mahmud sambil menggaru kepalanya. Puas sudah
diselongkar satu per satu laci dalam bilik kerja berkenaan.
“Aduh, macam
mana ni?! Nak tak nak, kena cari jugak malam ni. Ayah long dah nak bertolak ke
Ipoh ni,” gesa Mahmud seraya memandang tepat ke wajah anak bujang Osman.
Faizul
Ikhwan melilau-lilau di sekitar bilik itu. Setiap buku yang kemas berbaris di
rak dibeleknya satu per satu. Dari rak paling bawah sehinggalah rak paling
atas. Namun, usaha mereka nampaknya sia-sia belaka.
“Penatlah
macam ni, ayah long. Mungkin ayah letak tempat lain kut?!” soal Faizul Ikhwan
separuh merungut. Dia seperti berputus asa mencari sesuatu yang belum
ditemuinya. Sudah hampir 20 minit mereka mundar-mandir di bilik itu.
“Kejap ya,
ayah long. Zul kejutkan mak. Mungkin mak ada alih fail tu dan simpan kat
mana-mana.” Faizul Ikhwan memberi cadangan.
Mahmud hanya
mengangguk macam burung tekukur, setuju dengan cadangan anak saudaranya itu.
Biasanya isteri yang tahu di mana barang suaminya. Mungkin dialih di mana-mana.
“Ayah long,
mak tak ada kat biliklah!” Suara Faizul Ikhwan kedengaran bertempik dari bilik
emaknya.
Mahmud
berlari mendapatkan Faizul Ikhwan yang bersuara cemas.
“Hah?! Ya
ke?” tanya Mahmud ingin kepastian. Dahinya berkerut seribu. Memang Suriyana
tiada di biliknya.
“Pergi
mana?” soal Mahmud melihat wajah Faizul Ikhwan yang penuh teka-teki.
“Hairan! Mak
tak cakap apa-apa pun,” balas Faizul Ikhwan akan pertanyaan Mahmud tadi.
“Ke ada emergency?”
soal Mahmud lagi.
“Zul pergi
intai bilik Diah dengan Dina. Manalah tau kut-kut mak Zul tidur kat situ?” tebak
Mahmud.
Faizul
Ikhwan akur akan saranan Mahmud itu. Perlahan dia memulas daun pintu bilik
Wardina Amni dan Mardiah Amna. Adik dan kakaknya tidur dengan lena sekali.
Hampa dirinya kerana ternyata Suriyana tiada bersama mereka.
“Ada ke
maknya, Zul?” tanya Mahmud.
Faizul
Ikhwan sekadar menggeleng. Namun benaknya ligat diserang pertanyaan demi
pertanyaan.
“Aik? Ke
mana pulak Suri ni?” Mahmud berbutir.
“Selalu ke
mak kamu hilang malam-malam Zul?” tanya Mahmud, menyoal siasat.
“Entahlah,
ayah long. Tadi Zul tidur dalam jam 11.00, emak ada lagi kat depan tengok tv. Jangan-jangan emak kena culik tak?”
Faizul Ikhwan menduga. Cuak dia mengenangkan sebarang kemungkinan buruk berlaku
kepada emaknya.
“Kalau kena
culik, rumah ni mungkin ada ciri-ciri diceroboh masuk. Masa Zul buka pintu ayah
long datang tadi, pintu depan tu berkunci elok, kan?” soal Mahmud cuba
mententeramkan rasa bimbang Faizul Ikhwan.
“Ha’ah...
tadi semuanya okey aje. Tak ada pulak ciri-ciri rumah ni dipecah masuk.” Faizul
Ikhwan bersetuju akan kata-kata Mahmud.
“Ayah long
ingat dia ada hal kat luar. Kita doakan emak selamat ya? Insya-ALLAHlah tu.
Tapi, kalau tak ada hal penting, takkan dia tak balik lagi jam gini?” Mahmud
memberi buah fikiran cuba meredakan perasaan Faizul Ikhwan yang kian merusuh.
Air wajah Faizul Ikhwan menggambarkan riak tidak senang. Mungkin anak muda itu
khuatir akan keselamatan emaknya yang entah ke mana.
“Abang, ayah
long, kenapa ni?” Satu suara halus menyampuk perbualan mereka. Wardina Amni
hadir di ruang itu dengan wajah mengantuk.
“Maaf,
sayang. Ayah long dah buat semua orang terbangun.”
“Kenapa ayah
long datang malam-malam ni?” soal Wardina Amni seraya merapati tubuh Mahmud.
“Ayah long
datang nak ambil fail ayah warna merah. Dina ada nampak tak?”
“Yang tu
ke?” soal Wardina Amni sambil menunjuk ke satu arah. Mahmud berjalan ke arah
rak kabinet tv. Fail berwarna
merah emas itu ada di atas rak yang paling atas.
“Lah, siapa
letak kat sini?” tanya Mahmud kehairanan sebaik saja fail itu sudah berada di
tangannya. Dibelek-beleknya isi kandungan fail itu.
Wardina Amni
hanya menggeleng.
“Dina nampak
fail tu masa Dina sapu habuk kat kabinet tu,” jelas Wardina Amni.
“Betul ke tu
failnya, ayah long?” soal Faizul Ikhwan sambil menguap panjang.
“Ya,
betullah ni. Alhamdulillah...” jawab Mahmud setelah membelek-belek fail
berkenaan.
“Okeylah,
pergilah sambung tidur. Esok sekolah. Ayah long pun nak teruskan perjalanan ni.
Ayah long pergi dulu ya Zul, Dina. Kunci pintu ni baik-baik,” pesan Mahmud
sebaik saja menyalami kedua anak saudaranya itu.
Faizul
Ikhwan dan Wardina Amni mengangguk faham.
Tidak lama
kemudian, Mahmud pun membolos masuk ke dalam perut kereta. Beranda rumah itu
kembali gelap seperti mana dia baru tiba tadi. Mahmud kemudian gesa-gesa
menghidupkan enjin kereta memandangkan malam kian beredar ke hening subuh.
Dengan lafaz bismillah, dia menekan pedal minyak, meneruskan perjalanan
membelah kepekatan malam.
Baru sekejap
dia beredar dari kawasan itu, tiba-tiba matanya tertikam dengan silauan lampu
tinggi dari sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan. Kelajuan
kenderaan itu sederhana, namun tindakannya yang langsung tidak menurunkan lampu
tinggi itu membuatkan Mahmud geram sendiri. Dari dalam cermin, dia mengintai
kenderaan yang kian mengecil daripada pandangan mata. Sebuah kereta dari model
Mitsubishi berwarna putih membelok ke kawasan rumah Osman.
“Eh, tu
kereta tadi tu!” Mahmud bercakap sendirian sambil memberhentikan kenderaan di
bahu jalan. Secara tiba-tiba, benaknya laju berlari memikirkan perihal
Suriyana.
Rasa ingin
tahu semakin kuat menerpa akalnya. Dia menatap jam di pergelangan tangan. Pukul
2.30 pagi. Masih tidak terlewat kalau dia berpatah balik dan melihat siapa gerangan
penghuni kenderaan itu.
Tanpa
berlengah lagi, Mahmud nekad berpatah balik dan memandu di bawah kelajuan
paling minima. Lagi pula jarak keretanya dengan tempat yang ingin dituju
terlalu dekat.
Dia
meneruskan perjalanan dengan penuh cermat. Lampu kenderaan sengaja dipadamkan
sebaik saja memasuki kawasan kediaman Osman sekeluarga. Dia memberhentikan
kenderaan di bahu jalan, tidak jauh dari tempat dia memarkir kereta tadi.
Beberapa batang pokok ketapang yang tumbuh meliar di jalanan itu seperti
melindungi kereta Mahmud daripada dicam mereka. Mahmud tidak mahu kehadirannya
disedari mereka. Dia mahu mengambil masa dan terus memerhati.
Ternyata
tekaannya tepat. Kereta Matsubishi berwarna putih itu membelok masuk ke laman
rumah Osman dan diparkir betul-betul di depan rumah adiknya. Lima minit
berlalu, tiada seorang pun yang keluar dari perut kereta itu. Sepuluh minit
menunggu, dia bertambah gelisah. Kesabarannya teruji. Sia-siakah usahanya?
Perlukah dia mengulangi perbuatannya, mendekati tubuh kereta dan mengetuk
cermin kereta itu? Patutkah tindakannya itu? Tidak! Kali ini dia hanya ingin
mengecam dan memerhati tindak tanduk mereka.
“Ya ALLAH,
kuatkanlah imanku. Aku tak mahu bersangka buruk terhadap Suri. Dia isteri
adikku.” Mahmud berdoa bersama rasa gundah yang bukan sedikit. Matanya masih
memanah ke arah kereta itu.
Harapannya,
sesiapa pun dari dalam perut kereta itu agar segera keluar. Dia mahu tahu siapa
gerangan mereka. Dia tak sanggup membiarkan segala persoalan yang ligat bermain
di benaknya itu membuatkan hatinya tidak tenteram.
“Ya ALLAH…
Suri?! Betul ke Suri tu?” Mahmud bersoal jawab sendiri. Tubuh Suriyana yang
baru saja keluar dari perut kereta menuju ke tangga rumah semakin jelas
kelihatan.
Lampu kereta
yang sedia terpasang, menyuluh tubuh Suriyana yang sedang menapak ke tangga
rumah. Wanita cantik itu nampak anggun bergaya dalam solekannya
yang cukup
sempurna.
Dari kaca
mata Mahmud, wanita itu nampak begitu seksi dan menggoda. Bisa menggetarkan
jiwa seorang lelaki. Apabila Suriyana tiba di beranda, dia melemparkan senyuman
manis buat lelaki yang sedang melambainya dari cermin kereta yang terkuak.
Sebelum melangkah ke dalam rumah, Suriyana mengisyaratkan bahasa tubuh pada
lelaki tadi.
“Allahuakbar! Allahuakbar!” Dalam ketar menahan segala rasa di dada,
hatinya tidak henti berzikir agar diberi ketenangan menyaksikan semua itu.
Segumpal rasa geram dan bercampur kecewa mengenangkan sikap seorang isteri
bernama Suriyana.
“Macam ni
rupa-rupanya kau, Suri! Osman sibuk dengan urusan bisnes, kau sibuk melayan
jantan. Perempuan jenis apa kau ni, Suri?!” marah Mahmud seraya menghidupkan
enjin kereta dan meneruskan perjalanan ke Ipoh dengan hati yang mendongkol.
“MAN... kau dengan Suri macam mana? Okey?” tanya Mahmud di meja
makan itu. Malam itu, selesai sudah segala perbincangan penting yang melibatkan
urusan bisnes keluarga mereka bersama beberapa syarikat baru. Mereka semua
sudah pulang ke hotel penginapan masing-masing. Yang tinggal hanyalah mereka
dua beradik.
“Eh, bang?
Tiba-tiba aje abang tanya saya pasal Suri? Kenapa?” Osman mengajukan soalan
kepada Mahmud. Dia kehairanan.
“Abang rasa,
ada baiknya kau kurangkan masa berada di luar kawasan. Kau kena lebih luangkan
masa bersama isteri dan anak-anak.” Mahmud mengemukakan buah fikirannya. Sejak
kejadian malam tadi, dia kebingungan memikirkan perihal Suriyana yang berlaku
curang di belakang Osman.
“Alah, bang.
Saya cari rezeki untuk isteri dan anak-anak juga. Niat yang baik, ALLAH akan
mudahkannya. Lagipun selama ni, tak pernah pula Suri merungut saya ni sibuk.
Dia faham, bang.” Osman menjawab. Air kopi dihirupnya tenang. Cara dia memberi
jawapan menggambarkan betapa tidak pernah ada rasa curiga tumbuh di hatinya
terhadap Suriyana.
“Abang kerap
keluar, Kak Nah bising ke? Atau dia fikir abang ada cawangan baru?” Osman
bertanya dalam nada bergurau.
Mahmud
tersenyum tawar melihat senyuman dan
gelengan adiknya itu. Harus bagaimana untuk dia berterus terang perihal
Suriyana di belakang adiknya itu? Perlukah dia menceritakan semuanya?
Percayakah Osman? Silap hari bulan hubungan mereka adik-beradik yang
berantakan.
“Eh, bang...
takkan sehari semalam tinggalkan Kak Nah tu dah termenung panjang kut?” usik
Osman kepada Mahmud.
Mahmud
tersentak. Dia memaniskan wajah memandang wajah Osman. ‘Kalaulah kau tahu Man,
apa sebenarnya yang memberatkan fikiran abang ni?’ Mahmud mengeluh dalam hati.
“Manalah Man
tahu masalah abang, kalau abang tak berkongsi cerita,” sambung Osman bagai
mengetahui yang ada sesuatu sedang mengocak ketenangan hati Mahmud. Sedikit pun
Osman tidak terdetik memikirkan segala keresahan yang bersarang di jiwa Mahmud
adalah kerana Suriyana.
“Kita kena
percayakan mereka, bang. Man tahu, abang risau tinggalkan kakak sorang-sorang
kat rumah, kan? Abang takut kakak berlaku curang terhadap abang ke?” tebak
Osman. Nada suaranya yang tadi bersenda kini bertukar serius.
Tercengang-cengang
Mahmud mendengar perkataan curang yang terlontar daripada mulut adiknya itu.
Sedikit sebanyak, hatinya tersayat.
“Abang tak
pernah terfikir yang kakak kau akan buat begitu pada abang. Nauzubillah! Cuma
abang minta Man percaya cakap abang. Man kena simpan sikit rasa curiga terhadap
Suri. Man jangan seratus peratus percayakan dia!”
“Lah, apahal
bercerita pasal Suri pulak ni? Kenapa Man kena curigai dia? Kami tak pernah
bermasalah pun. Masalah kami hanya kerana Suri tak senang dengan mak. Suri
menganggap ada jurang yang menyebabkan kemesraan mereka terbatas. Itu saja!”
“Kau kena
percaya cakap abang, Man. Abang rasa Suri tu…” Mahmud mahu menceritakan perihal
apa yang dia nampak malam tadi, namun dia teragak-agak memandangkan wajah Osman
kian merah padam.
“Curang
dengan Man? Ada jantan lain? Abang jangan buat cerita! Abang jangan
berani-berani burukkan Suri!” Suara Osman keras menengking.
“Man, aku ni
abang kau. Takkan aku tergamak nak mereka cerita, Man?!”
“Tolonglah,
abang... jangan termakan hasutan orang. Bukan hari ni saja orang bercerita
tentang Suri, burukkan dia, tapi sejak
kami berkahwin lagi!”
“Tapi kau
kena dengar dulu apa yang abang nak bagitahu ni!” Mahmud cuba bertegas.
“Sudahlah,
bang. Man tak percaya dan takkan percaya. Dulu, orang burukkan dia sebab pernah
bekerja kat kelab malam, lepas tu fitnah pulak dia bekas pelacur. Tapi, Suri
tetap membuktikan dia perempuan suci. Dia masih dara pada malam pengantin kami,
bang. Macam mana lagi dia nak buktikan kejujuran dia? Sudah-sudahlah, bang.
Fitnah tu akan menganiaya banyak pihak!”
“Kau cuba
tuduh abang buat fitnah ke Man?!”
“Sudahlah,
bang. Man tak mahu bertekak dengan abang pasal Suri lagi. Man dah penat lalui
semua ni. Cukuplah kalau abang sudi mendoakan kebahagiaan rumah tangga kami.
Kasihanilah Suri. Dia dah banyak menderita hanya kerana menjadi isteri saya,
bang.” Osman sudah pun bangkit
meninggalkan Mahmud yang masih terkulat-kulat sendiri di meja itu.
Mahmud
menggeleng kepala mengenangkan sikap Osman. Serabut kepalanya memikirkan hal
Suriyana sejak malam tadi tidak berkurangan, malah kusutnya makin sukar
dileraikan. Mahmud menghela nafas berat. Dia gagal meyakinkan Osman tentang
sikap buruk Suriyana di belakang adiknya itu. Memikirkan semua itu, Mahmud
kesal sendiri. Dia sepatutnya mengumpulkan bukti untuk membuka mata Osman,
bukan setakat bercakap.
Mahmud
meraup wajahnya, mencari ketenangan dalam memikirkan permasalahan adiknya.
Perlahan-lahan dia bangkit dari kerusi, melangkah longlai ke bilik penginapan.
Otaknya sudah terlalu tepu. Dia mahu merehatkan badan seketika.
0 comments:
Post a Comment