7
“YA ALLAH...
kenapa ni, Suri? Kenapa dipukul budak Dina ni?” Osman yang baru saja memijak
lantai rumah cemas mendengar teriakan Wardina Amni di tengah rumah. Suriyana
yang sedang merah padam mukanya kerana marah, terperanjat dengan kehadiran
Osman di situ.
|
“Eh, err…
abang!” Penyapu lidi di tangannya dilempar ke dinding. Dia mendekati Osman yang
meluru mendapatkan Wardina Amni yang masih berteriak kuat di tepi dinding. Anak
itu mengongoi panjang.
“Cepatnya
abang balik. Kata balik Khamis, ni baru Selasa.” Suriyana berlembut lidah
merapatkan tubuhnya ke tubuh Osman.
“Ni kenapa
pukul anak sampai macam ni?” Nada suara Osman keras dan menekan. Wajahnya
menggambarkan rasa tidak puas hati melihat keadaan Wardina Amni yang masih
menggeletar ketakutan. Anak kecil itu didakap erat.
“Apa halnya,
Suri? Kenapa ni?” tanya Osman lagi apabila tiada sebutir perkataan pun keluar
daripada bibir mungil isterinya itu.
“Alah,
bang... budak tu tumpahkan nasi…”
“Hah,
tumpahkan nasi sampai Suri pukul dia separuh mati?!” Osman menengking kuat. Dia
tidak berpuas hati dengan jawapan isterinya itu. Matanya tajam ke kornea mata
Suriyana sebelum merenung dengan penuh simpati akan tubuh Wardina Amni yang
berbintat kemerahan.
“Yang abang
tengking Suri ni, kenapa? Salah ke Suri mengajar anak?” Suriyana cuba membela
dirinya.
“Suri, ni
bukan mengajar anak. Ni dah kira mendera anak!” marah Osman.
“Abang,
kalau saya tak mengajar dia macam ni, esok-esok dia buat lagi.” Suriyana masih
tak mahu kalah berhujah.
Osman tidak
berkata apa-apa lagi. Dia terperanjat besar apabila esak tangis Wardina Amni
sudah tidak kedengaran lagi di cuping telinganya. Tubuh anak kecil itu
terkulai. Wajahnya pucat lesi.
“Ya ALLAH,
Dina. Bangun nak, bangun.” Osman cuba menyedarkan anaknya itu, namun Wardina
Amni langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi.
“Hah,
sekarang Dina dah pengsan! Puas hati, Suri?” Suara Osman kedengaran serak.
Tubuhnya menggigil menahan bauran emosi. Perasaan marahnya kini bertukar
bimbang dan simpati merenung seraut wajah polos Wardina Amni. Dia kemudian
buru-buru mencepung tubuh Wardina Amni yang sudah lembik itu dan melangkah kaki
kalut, keluar dari rumah itu.
“Abang,
abang nak ke mana tu?” tanya Suriyana kaget.
Osman tidak
mengendahkan pertanyaan isterinya itu. Dia gesa-gesa membuka pintu kereta dan
membaringkan Wardina Amni di tempat duduk belakang. Sepantas itu juga, dia
melompat duduk di tempat pemandu dan segera menghidupkan enjin kereta.
“Tak nak
cakap, sudah.” Suriyana menjuih. Tak lama kemudian, enjin kereta Osman
kedengaran menderam pergi. Mungkin ke hospital, mungkin juga ke klinik.
Suriyana tidak mahu ambil peduli.
OSMAN hanya memandang Dr. Hamidi melakukan rawatan ke atas anak
perempuannya itu. Sungguh tak disangka yang Suriyana bertindak seperti orang
tak waras. Tak pernah dilihatnya isterinya mengamuk sakan sehingga sanggup
menjadikan penyapu sebagai objek untuk memukul zuriat sendiri.
‘Sampai
hati, Suri! Kesian Dina. Takkanlah masalah nasi tumpah pun sampai jadi macam
ni?’ Osman bersoal jawab dalam dirinya. Dia masih tak percaya yang seorang ibu
sanggup menghukum anaknya sekejam itu. Apa mungkin Suri punya masalah lain
sehingga beban masalahnya dilampiaskan ke tubuh kecil ini?
“Encik
Osman, anak encik ni ada masalah paru-paru. Kami dapati ada jangkitan kuman di
saluran pernafasannya. Jadi, pihak kami terpaksa tahan dia di wad untuk
pemantauan lanjut.”
Osman
terangguk-angguk, tanda faham akan kata-kata Dr. Hamidi itu.
“Ada sesuatu
yang Encik Osman nak katakan tentang luka-luka di badan anak encik ni?” Suara
Dr. Hamidi yang garau itu kedengaran serius. Wajahnya memandang tepat ke seraut
wajah Osman.
“Saya baru
pulang dari Ipoh ni. Sampai kat rumah, isteri saya berteriak cemas, beritahu
yang anak kami pengsan. Saya panik sangat, sampai tak sempat nak tanya apa
berlaku.” Osman mengarang cerita. Sekalipun rasa bersalah kerana berbohong dan
seperti dia tidak berusaha membela Wardina Amni, tetapi dalam keadaan sekarang
Osman terpaksa rela.
Dia tidak
sanggup mendedahkan tindakan kejam Suriyana sehingga anak bongsunya itu
terpaksa menanggung bahananya. Sebagai seorang suami, dia juga terpaksa
melindungi aib isterinya sendiri.
“Betul ke
ni, Encik Osman tak tahu apa-apa? Atau ada apa-apa yang Encik Osman sembunyikan
daripada saya?” Dr. Hamidi bertanya lagi.
“Betul, saya
pun masih tertanya-tanya apa sebenarnya terjadi kepada Dina.” Osman cuba
berlagak tenang, menjawab pertanyaan demi pertanyaan. Penipuan itu menumbuhkan
rasa kesal yang bukan sedikit di jiwanya.
“Mujurlah
lukanya tak serius dan encik cepat-cepat bawa anak ni ke mari. Kalau tak, anak
ni mungkin alami gangren.” Doktor itu bersuara lagi.
“Gangren?”
“Ya, gangren
boleh berlaku akibat kematian tisu secara meluas akibat terputusnya bekalan
darah dan akibat diserang bakteria. Saya perhatikan banyak luka lama dan luka
baru di seluruh badan anak encik.” Doktor itu menatap wajah Osman serius.
Osman
terkejut mendengar penjelasan doktor itu. “Luka lama dan luka baru?” tanya
Osman inginkan kepastian. Dahinya berkerut-kerut.
“Ya, banyak
luka lama. Dan luka lama, kalau dibiarkan tanpa rawatan, dikhuatiri akan ada
jangkitan kuman. Ianya akan memudaratkan kesihatan anak ni.”
“Oh...”
Osman menghela nafas sukar. Penjelasan doktor itu membuatkan degup jantungnya
kencang. Menatap wajah Wardina Amni, perasaan bimbang menggigit-gigit tangkai
hatinya.
“Ibunya tak
datang?” Dr. Hamidi masih berusaha mengorek maklumat.
“Hmm... kami
masih ada dua orang anak di rumah, doktor. Sebab kelam-kabut tadi, saya mengambil
keputusan datang ke sini seorang aje. ” Osman menjawab dengan suara serak.
Patah perkataan yang diucapnya tersekat-sekat.
Dia
memandang dan terus memandang akan seraut wajah Wardina Amni yang terkedang
lesu di katil putih itu. Osman sebak. Pandangannya mulai berkaca-kaca. Air mata
seorang ayah bergenangan di empangan, menunggu masa saja untuk pecah dan
terburai. Hancur luluh hatinya mengenangkan episod sedih tengah hari tadi.
Hancur
berkecai perasaan Osman mengenangkan sikap panas baran Suriyana. Isterinya itu
langsung tak ambil peduli akan untung nasib Wardina Amni. Walau apa pun punca
kemarahan Suriyana terhadap anak itu, membalun anak separuh mati bukanlah jalan
penyelesaiannya. Malah, Suriyana sedikit pun tidak mempamerkan rasa bimbang
melihat wajah pucat anak bongsu mereka yang tiba-tiba terkulai dalam dakapannya
tadi.
‘Sampai
hati, Suri! Tergamak Suri memperlakukan Dina begini. Janganlah terlalu
diturutkan sangat bisikan syaitan iblis tu. Mereka hanya tahu menghasut. Mereka
nak memporak-perandakan rumah tangga kita saja. Andai kata abang terlewat tadi,
mungkin keadaan Dina bertambah teruk. Abang tak boleh nak bayangkan sebarang
kemungkinan,’ keluh Osman. Semangat jiwanya bagaikan terbang jauh dari
tubuhnya.
“Bersabarlah,
Encik Osman. Banyak-banyaklah berdoa semoga penyakit anak encik tak serius.
Pihak kami akan berusaha sedaya upaya untuk merawatnya.” Dr. Hamidi menepuk
bahu, cuba menenangkan perasaannya.
Osman
tersentak. Segala paparan yang terlayar di skrin mindanya tentang Suriyana,
lenyap serta-merta.
Perasaan
sebak sudah tidak tertanggung lagi. Rasa kasih dan sayangnya terhadap Wardina
Amni setanding rasa cintanya yang tidak pernah padam buat Suriyana. Tapi kenapa
setelah sekian lama Suriyana berubah sikap? Apakah penyakit angin meroyan yang
pernah merajai tubuh isterinya itu bertandang lagi?
“MALAM ni? Hisy, mana boleh! Dia dah balik. Kalau you tak kena
kerat 18, silap hari bulan I pulak yang kena cincang!” marah Suriyana kepada
pemanggil.
Zack
terkejut dengan jawapan Suriyana itu. “Lah, you kata dia balik lusa?” tanya
Zack mahukan kepastian.
“Entah...
mimpi apa pulak dia balik awal ni? Tak hujan, tak ribut… tiba-tiba aje
tersembul dalam rumah,” luah Suriyana tak senang.
“Alah, dia
rindukan you lah tu! I cemburu ni.” Suara pemanggil itu kedengaran serius.
“Hmm... tak
ada maknanya rindu dia pada I. I ni macam patung cendana aje kat bilik tu
malam-malam. Dia tu bukan boleh buat apa pun,” jawab Suriyana lagi. Keras dan
kasar bunyi bahasanya.
“Aik,
Suri... lain macam aje bunyinya! Takkan you tak enjoy suami dah balik
rumah?” Suara Zack kedengaran menempelak.
“Alah,
Zack... boleh tak you jangan ulang hal yang sama. Bosanlah I sembang pasal
dia.” Kemarahan Suriyana kian memuncak.
“Jadi, malam
ni rancangan kita tak menjadilah? I dah rindu sangat dengan you ni. Rindu nak
ehem, ehem…”
“I pun rindu
sangat kat you ni.” Suriyana membalas. Manja dan menggoda.
“Mak, mak…”
Mardiah Amna yang tiba-tiba hadir di tepinya membuatkan raut wajah Suriyana
berubah.
“Hah,
kenapa?!” soalnya tak puas hati. Marah nampaknya dia kerana perbualannya
bersama Zack terganggu.
“Tu hah, Mak
Cik Ainon datang.” Mardiah Amna menjawab sambil berlalu ke dalam bilik.
Berkecil hati nampaknya dia, dimarahi Suriyana.
“Eeii, nak
apa perempuan tu?! Selalu sangat menyibuk jaga tepi kain orang lain,” rungut
Suriyana berang.
“Kenapa
sayang? Lain macam aje bunyinya? You marahkan siapa?” Suara Zack kedengaran
sayup-sayup memujuk Suriyana yang seperti sudah hilang mood. Hajat hati
Zack mahu bermesra-mesraan di telefon itu nampaknya terbantut sudah.
“Entah,
perempuan mana datang rumah I. Tak tahu agaknya I tengah sibuk,” bebel Suriyana
lagi.
“Tak apalah,
sayang. You pergilah layan tetamu you tu. Suara dia bagi salam jelas kat
telinga I ni. Nanti bila-bila, I telefon you lagi.”
“Okeylah
Zack, bye!” Klik.
“Hah, kak!
Apa hal datang rumah Suri ni?” Suriyana bercekak pinggang. Rimas nampaknya dia
melihat Ainon yang terjengul-jengul mengintai ke dalam rumah dari celah kekisi
dinding beranda, di tepi tangga.
“Kalau ya
pun, jawablah salam akak dulu. Memberi salam tu sunat, menjawab salam itu bukan
ke wajib?” Ainon berbasa basi, mahu mengambil hati Suriyana yang nampaknya tidak
senang dia hadir ke situ. Suriyana langsung tidak mempelawanya naik.
“Lah, akak
datang rumah Suri petang-petang ni sebagai ustazah ke? Suri tak ada masa nak
dengar ceramah akak tu. So, straight to the point.”
“Akak nak
tanya, Dina ada kat rumah tak?” soal Ainon.
“Kenapa akak
sibuk nak cari dia pulak?” tanya Suriyana agak terkejut.
“Sajalah
tanya. Sejak pagi tadi akak keluar, tak nampak pun kelibat dia. Biasa hari cuti
sekolah, bukan main riuh-rendah rumah Suri. Hari ni senyap pulak.”
“Dina keluar
dengan Man,” jawab Suriyana acuh tak acuh. Malas hendak melayan cakap-cakap
Ainon. Wajahnya jelas menggambarkan riak kurang senang.
“Yalah,
Suri. Akak datang ni nak bagi buah mangga harum ni. Beli banyak kat bandar
tadi.” Ainon mengunjukkan plastik berisi
buah mangga itu kepada Suriyana.
“Terima
kasih.” Suriyana menyambut pemberian Ainon.
Dia
kemudiannya melangkah masuk ke dalam rumah, tidak lagi mengendahkan jirannya
yang masih tercengang-cengang dengan layanannya itu.
Ainon yang
masih tercegat di tepi tangga hanya menggeleng kepala mengenangkan sikap
Suriyana. Perlahan dia mengheret langkah pulang ke rumahnya.
“Suri, abang
ni. Dina kena tahan wad. Abang bermalam kat hospital malam ni,” beritahu Osman
sebaik saja suara Suriyana bergema di corong telefon.
“Kena tahan
wad?” Suriyana menelan liur. Terkejut dia dengan perkhabaran Osman itu.
“Ya, lain
kali fikir sebelum bertindak.” Suara Osman kedengaran sinis menegurnya.
Suriyana tidak
menjawab. Dia terdiam dalam resahnya.
“Kalau jadi
kes polis macam mana? Suri boleh dituduh mendera, tau?” gertak Osman lagi,
meluahkan rasa tidak puas hatinya. Marahnya masih hangat membara mengimbas
saat-saat Wardina Amni diperlakukan kejam oleh ibunya sendiri.
“Abang tak
tahulah, jembalang mana yang sampuk Suri sampai Suri hilang akal macam tu. Suri
tahu tak, Dina tu ada masalah yang lebih serius. Dia ada masalah pernafasan.
Ada jangkitan kuman kat paru-paru dia. Ingat, Suri! Kalau jadi apa-apa kepada
Dina, abang takut abang tak mampu nak maafkan Suri. Abang…”
Kedengaran
gagang telefon dihentak kuat sebelum sempat Osman menghabiskan kata-kata.
Osman
mendail lagi. Beberapa kali. Namun, talian telefon rumahnya tidak berangkat.
Osman tahu, Suriyana malas mahu melayan cakap-cakapnya lagi.
“Arghhh!
Dina! Dina! Dina! Rimas aku, rimas!” bentak Suriyana sambil berlalu ke bilik.
Tak pasal-pasal disebabkan anak itu, Osman berkasar dengannya. Entah mengapa,
rasa marah, benci dan dendam terhadap anak itu semakin meluap-luap.
“Mak Itam
jangan sengih-sengih aje. Sakit hati saya ni bila dia dah mula nak meninggi
suara. Apa, ubat Mak Itam dah tak power lagi ke?” Wanita itu sengaja
mahu menduga Mak Itam. Dia tahu, Mak Itam pasti tak suka dirinya diperlekehkan.
Sekejap lagi, Mak Itam akan memberinya penawar yang diinginkan.
“Eh, tak
pernah ada orang yang datang jumpa aku ni balik dengan kecewa! Tak
merungut-rungut macam kau ni! Hisy…” marah Mak Itam dengan kata-kata wanita
itu.
Kini,
giliran wanita itu pula tersenyum mendengar kata-kata Mak Itam. “Hahaha...
sebab saya tak nak kecewalah saya datang jumpa Mak Itam ni. Cuma saya nak yang
lebih power. Tak kisah berapa pun harganya. Saya nak dia tu dengar cakap
saya. Tunduk apa yang saya arahkan. Saya rimaslah Mak Itam, dengar dia
membebel.”
“Tulah, aku
pesan suruh datang tiga bulan sekali, kau datang lima bulan sekali. Mana nak
berkesannya, oiii!” tempelak Mak Itam.
Wanita itu
sekadar mencebik, menyedari kesilapan sendiri. “Apa-apalah...yang penting
barangnya kena siap cepat. Takut nanti dia balik rumah saya tak ada, dia bising
pulak.” Wanita itu bersuara gundah. Tak sabar nampaknya dia mahu menamatkan
urusan penting dengan wanita tua itu.
“Barangnya
ada kau bawak?” Mak Itam bertanya.
Wanita yang
cantik bersanggul tinggi itu menghulurkan barang yang dimaksudkan.
Tak lama
kemudian, suasana suram di dalam bilik kecil itu mula berasap kelun dengan asap kemenyan. Bau kemenyan yang menusuk hidung membuatkan
wanita itu terbatuk-batuk kecil. Mak Itam nampak begitu khusyuk melayan jampi
manteranya.
Wanita
cantik yang duduk berhadapan dengan Mak Itam itu berkerut dahi. Bahasa yang
digunakan Mak Itam langsung tak difahami biji butirnya. Sekali dengar macam
bahasa Siam. Dua kali dengar macam loghat Jawa Timur. Berkali-kali dengar, dia
sudah tak reti nak mengandaikan bahasa apa.
‘Arghhh,
peduli apa aku dia nak guna bahasa Tamil ke Urdhu, Kantonis ke Hokkien, yang
penting misi aku mesti berjaya! Man, kau ingat aku ni siapa? Jangan sesekali
nak memperbodohkan aku. Aku tahu macam mana nak menundukkan kau, jantan!’
Wanita cantik itu berbisik dengan penuh bongkak di dalam hatinya.
“Nah! Balik
ni terus tabur sekeliling bilik. Jangan dilengahkan. Kena cepat bertindak.
Kalau dia tu asyik nak marah saja, maknanya penawar tu dah tak mustajab lagi.
Yang lain-lain tu, kau faham sendirilah.” Mak Itam berpesan.
Wanita
cantik itu tersenyum lebar. Hajatnya sudah kesampaian. Malam nanti pasti semua
masalah akan selesai.
“Saya faham,
Mak Itam. Saya faham. Terima kasih.” Wanita itu berlalu seraya menghulurkan
beberapa keping duit bernilai tiga ratus ringgit.
“Ingat,
setiap perjanjian kita ada pantang larangnya.”
“Ya, saya
ingat. Saya pergi dulu.” Wanita itu pun berlalu meninggalkan Mak Itam yang
tersenyum kerising menerima habuan hari ini.
0 comments:
Post a Comment